NOTIS  NOTIS NOTIS Pictures, Images and Photos
SALAM SEJAHTERA DAN SELAMAT DATANG

10 Julai, 2009

Cari Mekanisme Terbaik Untuk Aktifkan Semula JKKK

JKKK berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam memastikan pembangunan, kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di kampung terlaksana dan terjamin Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang merupakan pengerak kepimpinan di peringkat akar umbi kebelakangan ini disifatkan kurang berkesan dalam melaksanakan tugas dan peranan mereka dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Senario ini dikhuatiri boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar serta mencapai sasaran kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar kepada 0.9 peratus menjelang tahun 2009.

Berdasarkan statistik, sejumlah 17 buah atau 5.15 peratus sahaja JKKK yang aktif daripada 3,000 yang berdaftar di negeri ini. Keadaan ini harus diatasi segera dengan mencari beberapa mekanisme baru atau formula baru agar JKKK berupaya “digerakkan” semula.

Daripada bengkel baru-baru ini, diutarakan beberapa cadangan yang mungkin perlu dipertimbangkan demi kebaikan JKKK di negeri ini. Misalnya pada bengkel Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) anjuran Angkatan Zaman Mansang (AZAM) pada Jun lepas, beberapa cadangan telah diutarakan.

Antaranya langkah pengabungan beberapa buah JKKK yang kurang aktif menjadi sebuah JKKK yang kukuh yang mana langkah ini dilihat berupaya mengatasi kelemahan yang terdapat pada JKKK. Ini memandangkan kelemahan yang terdapat dalam JKKK yang kurang aktif dapat diatasi dengan adanya bantuan daripada anggota JKKK yang aktif. Namun cadangan ini dilihat praktikal kepada beberapa buah JKKK yang terletak berhampiran dengan kawasan bandar kerana kebanyakan JKKK di kawasan luar bandar masih terletak berjauhan antara sebuah kampung dengan sebuah kampung lain.

Terdapat juga cadangan untuk mengkaji semula keberkesanan JKKK atau menyesuaikan peranan JKKK dengan keadaan setempat. Melalui cara ini, JKKK tidak akan “ketandusan idea” untuk membangunkan sesebuah kawasan. JKKK harus melihat kemungkinan untuk memperluaskan peranan mereka dengan tidak hanya menjaga hal-ehwal ekonomi dalam kampung mereka.

Sebagai contoh, JKKK yang bersempadanan dengan negara jiran perlu memikirkan cara bagaimana untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan di kawasan mereka. Memang tidak dinafikan, terdapat agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan tetapi alangkah baiknya masyarakat turut terlibat sama dalam setiap aktiviti yang dijalankan serta merencanakan kejayaan kampung mereka.

Sebahagian besar masalah JKKK tidak aktif yang dikenalpasti adalah berpunca daripada sikap JKKK itu sendiri. Kebanyakan mereka masih tidak mempunyai “ilmu” untuk memimpin JKKK. Masalah-masalah lain seperti kurangnya komunikasi ahli JKKK dengan agensi pelaksana seperti pejabat daerah dan agensi kerajaan turut menyumbang kepada kurang keberkesanan JKKK yang dipimpin.

JKKK juga harus mengambil perhatian yang serius ke atas penyelenggaraan kemudahan-kemudahan asas yang diperolehi di samping memastikan tiada penduduk kampung yang tersisih daripada menerima nikmat pembangunan

JKKK juga tidak berupaya mewujudkan “networking” yang pastinya berakhir dengan kegagalan membangunkan kampung mereka kerana pembangunan sesebuah kawasan memerlukan kerjasama dan bantuan semua pihak. Pelantikan JKKK yang terdiri daripada golongan muda yang berpendidikan juga dilihat ada rasionalnya. Ini kerana terdapat pelbagai cabaran dan permasalahan baru perlu ditempuh oleh JKKK.

Melalui penglibatan golongan muda, JKKK “versi baru” ini, diharap dengan kebijaksanaan mereka dapat mengerakkan sektor industri kecil dan sederhana dengan penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Namun masalah untuk menarik golongan muda untuk menyertai JKKK terutama di kawasan luar juga masih menghadapi masalah. Ini kerana kebanyakan golongan JKKK tidak berminat untuk menyertai JKKK di samping kebanyakan golongan muda lebih berminat untuk mencari pekerjaan di bandar.

Syarat untuk memilih JKKK juga perlu dinilai semula kerana terdapat di kalangan ahli JKKK yang tidak mengetahui peranan dan tugas masing-masing malah ada yang tidak mengetahui struktur JKKK itu sendiri. Kita tidak dapat menyalahkan ahli JKKK ini kerana rata-rata mereka terdiri daripada mereka yang mempunyai pendidikan yang rendah serta didominasikan oleh golongan tua.

Namun tidak salah sekiranya kita mempelajari kejayaan “rakan JKKK” kita di Semenanjung Malaysia yang sudah wujud percantuman idea antara golongan muda dan tua. JKKK harus berfikiran terbuka dan sanggup menerima pendapat masing-masing. Golongan tua boleh dijadikan sebagai pembimbing atau penasihat untuk JKKK mereka manakala golongan muda dilihat sebagai pencetus idea baru dan pengerak kemajuan sesebuah kampung itu.

Begitu jugalah kesungguhan yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Sarawak yang prihatin untuk membantu JKKK di negeri ini yang lemah untuk “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan JKKK yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Melalui Angkatan Zaman Mansang dengan kerjasama Pejabat Ketua Menteri, Unit Pembangunan Sumber Manusia telah melatih anggota JKKK di seluruh negeri Sarawak dalam mentadbir dan mengurus organisasi dengan berkesan.

Program yang bermula dari tahun 2002 hingga tahun 2004 telah berjaya melatih sejumlah 2,807 orang ahli JKKK daripada 572 buah JKKK. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata bahawa pemimpin akar umbi ini perlu sentiasa meningkatkan kualiti kepimpinan masing-masing dengan menimba pelbagai ilmu pengetahuan dan belajar daripada pengalaman JKKK lain yang berjaya.

JKKK digalakkan menggunakan pelbagai platform pembangunan bagi meningkatkan keberkesanan JKKK antaranya seperti memanfaatkan Gerakan Daya Wawasan, menyertai Komuniti Bestari, menggunakan kemudahan Medan Info Desa (MID) atau kelas literasi Komputer dan sebagainya.

JKKK yang aktif akan memberi kesan yang positif terhadap pembangunan sesebuah kawasan. Mungkin sudah tiba masanya, untuk JKKK di negeri ini melakukan penilaian dan perubahan besar di kalangan JKKK dan ahli masing-masing. Keberkesanan JKKK ini harus diambil perhatian segera kerana jika dibiarkan berlarutan ia pastinya menjejaskan usaha untuk membangunkan sesebuah tempat atau kawasan.